Oleh: Rustam Sani
Buku terbaru Dr Kua Kia Soong telah menimbulkan banyak kontroversi, selain kemungkinan akan diharamkan oleh kerajaan daripada beredar. Namun demikian, sementara belum diharamkan ini, penjualannya dikatakan laris sekali – termasuklah pesanan besar yang datang dari Singapura.
Namun, apa yang menyedihkan ialah kualiti perbincangan tentang buku itu, termasuklah tentang persoalan sosial dan politik negara yang menjadi mauduknya.
Saya mengharapkan bahawa dengan timbulnya semula isu Peristiwa 13 Mei itu dalam ruang wacana awam kita maka akan lebih mendalamlah dan lebih jitulah perbincangan dan perdebatan kita tentang sifat dan ciri-ciri politik perkauman yang telah menghantui negara ini selama setengah abad kita melaksanakan proses pembinaan bangsa (nation building).
Namun tidak ada jalur pemikiran baru – yang lebih mantap dan lebih jitu kerangka wacananya – yang terjelma dari wacana yang dicetuskan oleh penerbitan buku ini. Permainan kata-kata lama dalam bentuk menyalahkan dan menuduh kaum itu atau kaum ini tampaknya masih mendominasi suasana pemikiran politik kita.
Di kalangan ahli akademik kita pula tampaknya lebih banyak perhatian diberikan kepada sumber dokumen daripada kerangka pemikiran yang melatarbelakangi analisis sosial dan politik tentang Peristiwa 13 Mei yang getir itu.
Dilihat dari sudut ini, pada hemat saya penulis buku ini sejak semula lagi tidak kurang bersalahnya.
Baik dalam buku ini maupun dalam bahan-bahan promosi yang disiarkan oleh Malaysiakini.com sebelum pelancaran buku itu pada 13 Mei lalu, pengarangnya pada hemat saya telah membuat dakwaan yang terlalu tinggi berdasarkan ciri bahan yang telah dimanfaatkannya – yakni “declassified documents” yang terdapat di Public Records Office di London.
Oleh yang demikian, dari satu segi saya dapat bersetuju dengan pandangan profesor emeritus dari Universiti Malaya yang mengatakan bahawa fail polis (khusus cawangan khasnya) yang terdapat di negara ini akan lebih berguna daripada dokumen-dokumen di London itu.
Hanya saya ingin mengingatkan profesor emeritus itu bahawa bezanya ialah: bahan yang ada di sini itu tidak akan pernah di”declassify”kan – demi melindungi versi rasmi penceritaan tentang Peristiwa 13 Mei itu yang telah dikeluarkan kerajaan sendiri.
Oleh kerana itulah, bagi saya yang penting bukanlah dari mana datangnya bahan itu, atau malah apakah cerita-cerita terperinci yang didedahkan bahan-bahan dan dokumen-dokumen itu tentang peristiwa tersebut, tetapi usaha melahirkan dan membentuk suatu analisis mantap tentang peristiwa itu sebagai suatu penjelamaan cuma daripada ciri yang lebih umum dan berterusan tentang hakikat politik perkauman yang mencirikan masyarakat kita.
Inilah, pada hemat saya, yang belum tergapai oleh pemikiran para akademik dan para cendekiawan kita.
Apa yang lebih menyedihkan, malah sebenarnya amat melucukan, ialah pandangan seorang profesor dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang meragukan “nilai” akademik buku Dr Kua ini atas alasan bahawa manuskrip asal buku itu tidak diluluskan oleh dua orang pemeriksa sekurang-kurangnya – dan tidak pula diterbitkan oleh sebuah badan/syarikat penerbitan yang mempunyai reputasi (atau apakah maksudnya lesen?) sebagai penerbit akademik.
Alangkah menyedihkan tahap pemikiran seorang “profesor pentadbiran” yang seperti itu – yang tidak dapat membezakan antara nilai cendekia, nilai akademik, dan proses pentadbiran penerbitan sebuah karya akademik.
Apakah nilai akademik, kita mungkin boleh bertanya pada si profesor itu, sebuah buku teks universiti yang diluluskan oleh jemaah menteri berdasarkan laporan Menteri Pengajian Tinggi yang tidak pernah memperlihatkan kefahaman yang mendalam tentang institusi pengajian tinggi itu sendiri?
Sunday, May 20, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment