Tuesday, May 22, 2007

Buku 13 May: Apa tujuannya?

Hari ini saya menaip posting blog ini dengan hanya menggunakan tangan kiri. Tangan kanan tidak dapat digunakan mungkin disebabkan apa yang dipanggil Computer-related injury (CRI). Mengadap computer tidak kurang daripada 12 jam setiap hari mentelaah blog-blog sosio-politik dan ekonomi mengenai Malaysia telah mencabar ketahanan fizikal tubuh yang sudah separuh abad ini. Bagaimanapun, apabila terbaca banyak posting cetek yang cuba menegakkan "benang basah" berhubung kesahihan kandungan buku Dr Kua Kia Soong (Kiasu?), saya rasa terpanggil untuk membantu secara pasifis sentimen perkauman yang dicaturkan beliau.

Nampaknya agak ramai blogger dan pengunjung memberikan komen melulu menyokong karya Dr Kua yang diasaskan kepada apa dikatakan sebagai dokumen berhubung May 13 yang telah dideklasifikasikan oleh pihak intelligence British. Dalam pada itu terdapat ramai juga blogger Melayu yang bangun mengajukan posting menentang pendirian penulis itu.

Saya rasa agak terharu apabila mendapati di persekitaran belantara blog frontier ini ada juga mereka yang sejak sekian lama lantang menyuarakan kritikan terhadap parti pemerintah dan kerajaan sudi mengenakan moratorium demi mempertahankan kedaulatan Perlembagaan yang begitu jelas menggariskan hak orang Melayu dan sebagainya. Ia mengingatkan saya kepada ungkapan Inggeris "Adversity brings us together".

Apakah agaknya tujuan Dr Kua menerbitkan karya sebegitu rupa? Apakah agendanya? Dari mata kasar kita hanya dapat melihat bibit-bibit menghasut, sementara jika diteliti secara mendalam dan memikirkannya kita tidak dapat lari daripada hakikat bahawa ia masih bersifat "jahat".

Biarlah apa yang berlaku pada hari ke 13, 1969 itu menjadi pengajaran. Tak payah kita menggunakannya sebagai alasan dan publisiti murah untuk memperjuangkan agenda buruk yang tersirat. Hakikat ini perlu disedari oleh ramai atau kesemua yang dikatakan tergolong sebagai "thinking bloggers" kerana sejak isu buku Dr Kua timbul tidak ramai mereka yang ingin melihatnya darip perspektif Melayu , agama dan toleransi masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Pada mereka pemikiran terbuka tanpa sempadan mencerminkan intelektualisme dan status diri sebagai orang terpelajar dan bertamaddun.

Bukunya betul dan versi yang diterbitkan kerajaan pada 1969 tidak benar. Itulah yang ingin disuarakan oleh Dr. Kua. Bagaimanapun, jika dilihat dari segi rasa tanggung-jawab, versi kerajaan adalah versi mantap. Walaupun ditapis (demi memelihara ketenteraman awam) ia jelas menjurus kepada kebenaran.

Apakah salah bertindak secara bertanggung-jawab seperti yang dilakukan kerajaan dalam tindakan menerbitkan versi 1969 itu? Apakah demi ketelusan, demokrasi dan hak asasi segala-galanya perlu diluahkan? Apakah akhirnya?

Saya sendiri masih ingat detik-detik yang berlalu sepanjang tiga hari pada 1969 itu. Saya melihat betapa rakus dan biadabnya sesetengah penyokong parti politik ketika itu...

Hari ini ramai "mainstream" blogger jelas lebih cenderung berdiam diri di antara selitan mencari kecacatan dan kepincangan dalam pentadbiran negara sendiri yang dikira boleh diselesaikan secara lebih berakal.

Seperti Dr Mahathir pernah berkata kita hanya pandai "menembak kaki sendiri". Memang mendalam dan bermakna sindiran beliau itu. Tidak lupa juga pesanan beliau bahawa "Melayu mudah lupa".

Kita sering ghairah mencari kepincangan dalam bangsa sendiri. Menyuarakannya secara terbuka kononnya demi prinsip demokrasi tulen yang diteguhkan lunas-lunas hak asasi tanpa menyedari realitinya pada bangsa dan agama walaupun kesemua ini jelas dibutirkan dalam perlembagaan.

Di sinilah letaknya kelemahan kita untuk terus bangun sebagai bangsa. Kita tidak bersifat aggresif dan konsisten dalam mengusahakan sesuatu. Minda kita begitu mudah dipengaruhi buah-buah fikiran yang diajukan oleh puak yang mendabik dada kononnya lebih intektual walhal apa yang kita boleh rumuskan tidak memerlukan pemikiran Einstein dan sebagainya.

Cukuplah saya membebel luahan hati dengan tangan sebelah kali ini. Kita lihat saja ke mana arah yang akan dibawa pengaruh "kebenaran" seperti didakwa Dr Kua sebagai terkandung dalam bukunya itu.

No comments:

Post a Comment