Thursday, May 24, 2007

Penolong Editor Malaysia Today tanding Naib Ketua Wanita Keadilan

Berita Haniza Talha, Penolong Editor Malaysia-Today, portal berita web alternatif yang diterajui Raja Petra Kamarudin (24 Mei, 2007) telah "mengejutkan" beberapa pengikut dan pemberi komen tetingkap portal media itu. Mereka mula mempersoalkan pendirian Raja Petra dalam kancah politik negara. Ini kerana sebelum itu ramai masih jahil akan "tulisan pada dinding" yang jelas menujuk ke arah mana beliau berkiblat daripada segi politik.

Ramai yang dapat menerima peranan Raja Petra sebagai pembekal media alternatif melalui saluran Malaysia-Today, tetapi sejak kebelakangan ini, sikap pengunjung yang memberi komen bersifat jahat lantaran memperkecilkan agama Islam dan sebagainya telah menimbulkan tanda tanya. Mengapa beliau tidak lebih bertanggung-jawab dalam menangani hal ini?

(Dipetik dari Malaysia Today 24 Mei, 2007)


Penolong editor Malaysia Today, Haniza Talha, akan bertanding merebut jawatan Naib Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) Jumaat ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Penerangan Wanita Keadilan Pusat dan juga Naib Ketua Bahagian Hulu Langat memperolehi pencalonan tertinggi dengan 44 pencalonan.

Haniza akan berdepan dengan empat calon lain, bagi mengisi tiga kerusi untuk jawatan tersebut.

Beliau akan bersaing dengan Dr. Zaliha Mustaffa, Noorsham Abu Samah, Rohani Bakar
dan Begum Jan Abdullah

Ketika dihubungi, beliau berkata perjuangannya antara lain adalah untuk meneruskan hasrat wanita parti yang mahu wanita lebih empowered, terlibat sama dalam membuat keputusan.

Pada tahun 2000, Keadilan telah meluluskan Usul 30 peratus penglibatan wanita dalam proses membuat keputusan di semua peringkat dalam parti.

Jelasnya parti perlu serius menunaikan usul yang telah diluluskan pada tahun 2000 dan tidak meletakkannya di atas sayap Wanita sepenuhnya.

Terangnya, Wanita sudah cukup bersedia dan bagi mencapai sasaran minima 30% tersebut, 3 jawatan Naib Presiden yang dipertandingkan, Wanita mengemukakan seorang calon iaitu Fuziah Salleh dan sembilan calon bagi 25 ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang akan dipilih.

“Jangan tolak calon wanita yang kredibel, hanya untuk nampak cantik calon Melayu, Cina dan India bagi mengisi jawatan tersebut.

“Parti perlu melihat ke depan, negara-negara maju malah Indonesia telah meletakkan syarat mandatori bagi parti-parti politik yang terlibat dalam pilihan raya mempunyai sekurang-kurang 30% calon wanita. Wanita Keadilan tidak percaya kepada tokenism, dengan itu kami sudah melatih dan menyediakan wanita dari tahun 2001, untuk sahut cabaran tersebut. Kini, Wanita sudah cukup bersedia untuk pikul tanggungjawab tersebut. Jangan lihat wanita berasaskan pandangan steriotaip yang ada.”

Setakat ini, katanya hanya kira-kira 15 peratus sahaja wanita dalam parti itu yang terlibat dalam peringkat menggubal dasar parti.

Sumbangan wanita dalam parti itu telah terbukti; pengukukuhan struktur sayap parti.

“Salah satu ukurannya ialah berjaya mengadakan mesyuarat agung tahunan Wanita bahagian (MATWB). Pada tahun 2005, bahagian Wanita seluruh negara yang berjaya adakan MATWB hanya 62, dan berkembang menjadi 92 bahagian pada 2006, seterusnya mencapai 109 bahagian pada tahun ini.”

Malah, tegasnya ‘pengaruh wanita’ juga boleh dilihat, apabila kira-kira 52 peratus rakyat negara ini ialah wanita, dan kira-kira 54 peratus yang keluar mengundi ialah wanita.

Katanya, dunia sedang melihat sebuah parti yang pada satu hari akan menerajui kepimpinan negara, apakah pendirian serta usaha parti terhadap penglibatan wanita dalam arena politik. Kami mendapat tahu bahawa ada pertubuhan-pertubuhan dalam dan luar negara yang sedang mengikuti dan menunjukkan minat terhadap perkembangan ini.

Menurut senarai kehadiran, mereka telah mengesahkan kehadiran wakil mereka ke Kongres Nasional Tahunan Wanita kali ini.

Haniza juga akan terlibat mengendalikan siaran langsung Kongres dari Seremban yang akan disiarkan melalui Malaysia Today dari 26 dan 27 Mei ini.

Komen: Persoalan condong ke arah mana Malaysia-Today dan RPK bukanlah rahsia. Ikuti saja "drift" dalam posting beliau. Bagaimanapun, itu haknya untuk bersuara -- asalkan tidak terlalu taksub dengan kepalsuan, lantaran menggugat kredibiliti sebagai seorang citizen journalist. Pada saya RPK tidak dapat menggugat nemesis politiknya selagi kesahihan laporan berita di Malaysia-Today dan blog lain tidak diperteguhkan dengan pembuktian kental. Yang dipandang serius ialah luahan komen-komen bodoh, lucah dan kebudak-budakkan para pemberi komen pada sebahagian besar daripada posting yang terkandung di portal Malaysia-Today.

Diharap RPK masih teguh berpegang pada motto alma mater beliau, "Fiat Sapentia Virtus" (Let Manliness Come Through Wisdom!).

No comments:

Post a Comment