Saya tertarik dengan luahan kekecewaan dan kekesalan seorang ahli UMNO yang tersiar di laman KMU hari ini (Surat Terbuka Kepada Tan Sri Muhamad Muhamad Taib).
Saya amat menghargai keutuhan negara ini selain rasa begitu bertanggung-jawab terhadap kedaulatan agama dan bangsa. Saya seorang ahli biasa UMNO yang tidak pernah mengenali mana-mana 'kroni' pun sebelum ini. Saya tidak meminta apa-apa balasan selain melakukan perjuangan siber ini secara sukarela dari dulu lagi. Saya amat terkilan dan berasa malu dengan apa yang didakwa (dan kononya juga dibuktikan) bahawa pihak UMNO di PWTC telah mengupah penulis "mercenary" untuk membantu menafikan segala tohmahan dan pembohongan yang tersiar di internet.
Usaha itu murni. Sebagaimana pihak pembangkang dan aktivis politik bersayap kiri bergiat di alam siber dengan penuh yakin, begitulah juga hak pihak UMNO mempunyai ruang untuk menggunakan pletform maya bagi mempertahankan diri.
Jika benar wujud pasukan siber itu dan juga benar mereka cuba menyamar di laman-laman blog yang disasarkan, saya rasa telah tiba masanya untuk dikaji semula strategi berkenaan.
Paling penting ialah bagi segala usaha penangkisan terhadap tohmahan dan propaganda ditangani dan jawab secara profesional dan berhemah.
Bukan calang-calang orang yang mampu berdiri teguh berjuang di medan pertempuran siber ini. Saya tabik kepada beberapa suara 'moderate' yang tidak berasa malu mengakui sebagai ahli UMNO dan ketara diterima dalam komuniti blogger pembangkang, termasuk Malaysia-Today.
Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini dengan pencerobohan dan suara kasar kebudak-budakan cetek beberapa orang 'counter-blogger', senario keterbukaan telah menjadi kecoh. Kecoh bukan kerana blog-blog pembangkang dan aktivis bersayap kiri tergugat, tetapi kerana langkah sumbang 'pejuang' mentah kita sendiri.
Ini hanyalah pendapat peribadi saya. Diharap pucuk pimpinan parti terimalah secara terbuka kerana misi UMNO sentiasa murni. Kemurniaan inilah yang saya pegang dan bukan disebabkan kerana beberapa pemimpin digugat pelbagai tuduhan di alam siber. Itu semua perlu dijawab dan diperbetul sendiri secara telus.Ia juga tidak bermakna seluruh ahli UMNO yang berhati mulia dan berintegriti akan meninggalkan perjuangan parti dan bangsa disebabkan segelintir pemimpin itu.
Pada kami UMNO tetap UMNO dan segala-galanya perlu diperbetulkan secara dalaman dan terbuka dan dalam pada itu segala perjuangan terhadap ancaman ini tetap diteruskan.
Saya dan beberapa rakan seperjuangan akan sentiasa berjuang untuk mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara. Oleh itu saya memohon supaya segala-galanya dilakukan secara berhemah kerana akhirnya yang paling berkuasa ialah rakyat dan ribuan ahli UMNO yang begitu mengharap.
Thursday, July 26, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment