Monday, July 23, 2007

Pemuda MCA Memberi Ketua Pemuda UMNO Nasihat Keras

Pemuda MCA telah menyampaikan nasihat keras kepada Pemuda UMNO supaya jangan terlalu taksub dengan keadaan. Sayap Pemuda MCA itu dilaporkan berasa tidak senang dengan gesaan Ketua Pemuda UMNO, Dato Hishamuddin Tun Hussein supaya MCA berhenti daripada membuat kenyataan berhubung andaian bahawa Malaysia negara sekular.

Berikut surat terbuka daripada Pemuda MCA kepada Pergerakan Pemuda UMNO yang bertarikh 22 Julai 2007:


Surat terbuka kepada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO

Kami, ahli-ahli muda MCA, menyokong penuh pendirian dan usaha murni MCA menyumbang kepada pembangunan negara dan rakyat Malaysia.


Kami membidas tindakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang memberi “Amaran kepada MCA” melalui akhbar Berita Harian (tajuk utama, Sabtu 21 Julai 2007) yang meneruskan politik polemik mengintepretasikan semula perlembagaan persekutuan Malaysia.

Ini berlaku walaupun pada hari Khamis 19 Julai, 2007, Kementerian Dalam Negeri telah mengarahkan media arus perdana supaya jangan menyiarkan sebarang berita mengenai Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Perbuatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO langsung tidak menghormati larangan yang telah dikeluarkan oleh KDN yang mewakili kerajaan negara.


Kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO terhadap pemimpin MCA yang merupakan rakan kongsi utama BN, tidak membawa manfaat kepada sesiapa kerana ia tidak membawa kebaikan kepada mana-mana pihak.


Kami memberi nasihat ikhlas kepada Ketua Pemuda UMNO supaya mengingati semangat BN yang telah menjadi teras kerjasama dan muafakat selama 49 tahun Malaysia merdeka. Perbuatan mengeluarkan amaran terhadap sesebuah rakankongsi seperjuangan BN juga memperlekehkan semangat toleransi, hormat-menghormati dan bermuafakat.


Kami menyarankan pihak yang berkenaan seupaya melihat Perlembagaan Persekutuan Malaysia secara menyeluruh, bukannya mengambil sesuatu fasal atau fakta secara terasing kerana ini tindakan pihak yang jahil mengenai latar belakang, semangat dan kesefahaman yang telah dipersetujui di antara semua rakyat Malaysia yang menjadi teras membawa kepada pembentukan negara Malaysia yang merdeka.

Leadership Development Bureau
MCA Bangsar/22 July 2007


Komen Publius Melayu: Dalam menangani isu ini, saya kira eloklah kedua-dua sayap parti komponen BN itu berusaha menyelesaikannya secara rasional dan tertib. Di pihak Hishamuddin, sekiranya amaran beliau berhubung kenyataan Ong Ka Chuan itu terlalu keras, sudah tentulah reaksi daripada pihak lain juga akan diajukan secara lantang.

Ini adalah perkara yang boleh diselesaikan sekelip mata. Pandangan peribadi almarhum Tunku Abdul Rahman dan kemudian disusuli mendiang Tun Tan Siew Sin adalah tidak lain daripada tafsiran berdasarkan 'pertuturan' dalam perlembagaan yang boleh dilihat dari pelbagai sudut.

Dalam pada itu, saya juga mempersoalkan tujuan Ong menimbulkan isu tersebut. Apakah manfaatnya? Apakah ia hanya sebagai modal cetek bagi menarik perhatian penyokong?

No comments:

Post a Comment