Dipetik dari Malaysia-Today
Kegiatan rasuah di kalangan ahli politik di negara ini tidak membimbangkan seperti yang sering digambarkan oleh pihak tertentu kepada masyarakat umum sejak akhir-akhir ini.
Menurut Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh, banyak tuduhan atau dakwaan berkaitan rasuah yang dilemparkan terhadap golongan tersebut hanya tanggapan atau andaian semata-mata.
Beliau berkata, berdasarkan laporan Badan Pencegah Rasuah (BPR), tidak ramai ahli politik terlibat dengan rasuah berbanding penjawat awam dan masyarakat umum.
‘‘Hampir keseluruhan ahli politik yang terbabit dalam rasuah, berita mengenai mereka disiarkan dalam media massa dan tidak timbul soal kerajaan menyorokkan perbuatan mereka.
‘‘Ahli politik mendapat liputan media kerana mereka sering menjadi perhatian masyarakat,” katanya selepas menghadiri Forum Integriti di Wisma Darul Iman di sini hari ini yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.
Dalam pada itu, Mohd. Tap menggesa wakil rakyat atau ahli politik yang sudah tidak mampu berkhidmat kepada rakyat agar mengundurkan diri secara terhormat bagi memberi laluan kepada orang lain.
Katanya, ini penting kerana dari segi prinsip integriti, wakil rakyat atau ahli politik seharusnya memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat yang dipimpin.
Menurut beliau, sekiranya seseorang itu masih memegang jawatan sedangkan dia tidak mampu berkhidmat, ia sudah bercanggah dengan kepentingan masyarakat.
‘‘Kita memerlukan pemimpin atau ahli politik yang berintegriti kerana ia dapat membantu menegakkan martabat negara,” katanya.
Mohd. Tap menegaskan, pihaknya memandang serius aspek integriti di kalangan ahli politik kerana mereka menjadi perhatian masyarakat.
Katanya, setiap perlakuan dan tutur kata pemimpin politik mempunyai pengaruh besar terhadap masyarakat.
‘‘IIM akan terus memainkan peranan untuk memastikan institusi politik menjadi pemangkin utama kepada perubahan sikap masyarakat untuk lebih berintegriti dalam kehidupan seharian,” katanya.
Beliau menambah, selain mengadakan perbincangan tentang integriti dan peranan yang seharusnya dimainkan oleh ahli politik, IIM juga mengadakan pelbagai program sektor politik di merata tempat di seluruh negara.
Katanya, usaha untuk membudayakan integriti memerlukan usaha dan komitmen semua pihak.
‘‘Diharapkan institusi politik mampu memainkan peranan sebagai jurutera yang menstrukturkan semula masyarakat agar menjadi lebih baik dengan kehidupan yang lebih berkualiti,” katanya.
Tuesday, June 12, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment