Thursday, June 14, 2007

Kisah Benar: Amerika Syarikat, Anwar & Foundation for the Future

Dipetik dari komen Ikhwan Chen di Malaysia-Today.

Pada 21 Mei 2007 lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan rasmi bagi mempertahankan kesahihan dan kedaulatan Foundation of the Future yang dipengerusikannya. Beliau antara lain berkata:

"Yayasan tersebut merupakan sebuah badan independen, melibatkan kerajaan dan masyarakat madani untuk menyokong badan-badan bukan kerajaan di dalam usaha membangunkan demokrasi dan kebebasan di Timur Tengah dan Afrika Utara"

Sekali imbas memang ramai yang akan terpengaruh dengan penyataan rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim itu. Bagaimanapun, hakikatnya amat ketara berbeza daripada apa yang ditegakkan beliau.

Berbeza daripada deskripsi yang diberikan, pertubuhan Foundation of the Future (FFF) tidak langsung bebas. Ia sebaliknya jelas condong dan pro kepada Amerika Syarikat. Ini terbukti kerana pertubuhan tersebut diletakkan di bawah penguasaan Elizabeth Cheney, anak kepada Naib Presiden Amerika Syarikat Dick Cheney. Elizabeth pernah memegang jawatan Timbalan Penolong Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Timur Dekat di Jabatan Negara Amerika.

Dalam pada itu, Elizabeth juga dibantu oleh Shaha Ali Riza yang telah ditukarkan oleh Presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz, ke Jabatan Negara Amerika pada September 2005.

Pertukaran Riza keluar dari Bank Dunia adalah berupa langkah bagi melindunginya daripada konflik kepentingan peribadi dalam skandal bersama Wolfowitz.

Kepakaran Riza dalam hal ehwal Timur Tengah dan Afrika Utara adalah berikutan pengalaman yang diperolehi sepanjang perkhidmatannya sebagai ‘Senior Gender Specialist in the Middle East & North African Social and Economic Development Groups’ dan juga sebagai ‘Senior Communications Officer in the Middle East and North Africa regional Office (MENA).

Ketika memegang kedua-dua jawatan tersebut Riza telah mencadangkan kepada Elizabeth tiga nama tokoh beragama Islam pro Amerika Syarikat yang dirasakan sesuai dilantik menjadi ahli jawatankuasa pemilih lembaga pengarah yayasan berkenaan. Mereka ialah Anwar Ibrahim (Malaysia), Rahma Bourqia (Morocco) dan Bakhtiar Amin (Iraq). Kesemua mereka ini dilantik ahli lembaga pengarah berdasarkan pendirian yang terbukti pro Amerika Syarikat selain pernah menerima bantuan pembiayaan daripada negara itu.

Anwar Ibrahim pernah menjadi perunding hal ehwal pentadbiran dan akauntibiliti Bank Dunia. Beliau kini Visiting Fellow and Senior Associate Member di St. Anthony's College, Oxford University, England; Distinguished Senior Associate Member John Hopkins School of Advanced International Studies, John Hopkins University, Washington DC dan Distinguished Visiting Professor di School of Foreign Service, Georgetown University, Amerika Syarikat.

Berdasarkan perlantikannya sebagai diplomat jemputan dalam Majlis Perhubungan Luar Negeri (Council of Foreign Relations) di New York, beliau dianggap ‘duta Amerika Syarikat’ di negara-negara Islam Timur Tengah, Afrika Utara, Asia dan Asia Tenggara. Dalam hairarki Jabatan Negara Amerika, beliau bertugas di bawah Riza yang diketuai Elizabeth Cheney.

Sementara itu, Rahma Bouqia, Pengerusi Yayasan, adalah Presiden University Hassan II Mahommedia yang di antara lain mendapat tajaan pembiayaan sebanyak AS$124,000 daripada agensi pembangunan antarabangsa Amerika Syarikat, USAID dan Networks for Financial Institute (NFI). Beliau juga seorang ejen Amerika Syarikat dalam memperjuangkan hak-hak asasi wanita di Maghribi dan Timur Tengah.

Bakhtiar Amin ialah pengasas Iraqi Institute of Democracy (Institut Demokrasi Iraq, yang mempunyai ibu pejabat di Amerika Syarikat) dan ditaja USAID, The National Endowment of Democracy (NED), The National Democratic Institute (NDI), The International Republican Institute (IRI) dan The United States Institute of Peace.

Beliau dilantik oleh Amerika Syarikat sebagai Menteri Hak Asasi Manusia Iraq dalam kerajaan sementara negara itu (selepas Saddam Hussein ditumbangkan). Bakhtiar juga Setiausaha Agung The Kurdish Institute di Paris selain menjadi Pengarah Human Rights Coalition, sebuah pertubuhan gabungan hak asasi manusia di Washington. Pada 2003 beliau dilantik menjadi Pengarah International Alliance for Justice yang ditaja George Soros Foundation dan berpusat di Paris.

No comments:

Post a Comment