Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata tempoh berkempen selama 10 hari bagi pilihan raya kecil Permatang Pauh bermula 16 Ogos ini adalah terlalu pendek.
Katanya, walaupun ia hanya satu pilihan raya kecil tetapi ia penting kepada rakyat dan calon yang bertanding.
"Ini kelihatan seolah mempolitikkan pilihan raya. Sepatutnya ia merupakan medan yang baik untuk calon dari manamana parti berkempen. Tetapi dengan tempoh yang singkat ini, calon tidak boleh memberikan pandangan yang lebih ketika berkempen," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini mengumumkan 16 Ogos sebagai tarikh penamaan calon dan 26 Ogos untuk pengundian bagi kerusi Parlimen itu yang dikosongkan oleh
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 31 Julai untuk memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertanding di situ.
Bagaimanapun Shamsul Iskandar berkata, PKR yakin mampu meraih undi yang lebih besar berbanding pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.
Sebaliknya Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib menganggap tempoh itu sebagai "munasabah".
"Tak pendek dan tak panjang, jadi bolehlah partiparti yang bertanding mempunyai masa yang cukup untuk berjumpa dengan pengundi," katanya.
Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Wira Syed Ali Alhabshi pula berkata, tempoh berkempen antara sembilan dan 10 hari adalah biasa.
Beliau juga berkata, tindakan Wan Azizah mengosongkan kerusi itu hanya empat bulan selepas memenanginya dalam pilihan raya umum lepas adalah tidak bertanggungjawab dan hanya membazir wang dan masa rakyat.
Bagi mengelak perbuatan seperti itu berulang, beliau mencadangkan agar Akta Pilihan Raya dipinda bagi menetapkan sesiapa yang meletak jawatan tanpa alasan yang kukuh,
kerusi itu diberikan kepada lawannya pada pilihan raya berkenaan.
Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayob berkata sama ada tempoh berkempen itu singkat atau tidak, ia bukan masalah kerana pengundi di Permatang Pauh sememangnya menanti saat untuk menjulang semula kepimpinan Anwar.
Katanya, Pemuda PAS akan bekerjasama rapat dengan Angkatan Pemuda PKR dan
DAP dalam menghadapi pilihan raya kecil itu.
Pengerusi Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata BN akan mengelak daripada mengulangi kesilapan lampau yang menjadi punca kekalahan calon parti itu sebelum ini.
"Saya berharap pilihan raya ini akan dilangsungkan dengan bersih, beretika dan profesional dan berharap sangat pemuda-pemuda sabar dan tidak menimbulkan apa-apa kekecohan," katanya.
-mStar
No comments:
New comments are not allowed.