Monday, August 4, 2008

BN jangan boikot Permatang Pauh


Sejak dua hari lalu sekurang-kurangnya dua tokoh UMNO mencadangkan supaya memboikot pilihan raya kecil di Permatang Pauh.

Selain Annuar Musa dan Dr Latif yang mempunyai rasional serupa dalam membuat gesaan tersebut, hari ini, bekas Setiausaha Politik Tun Mahathir Mathias Chang juga menyatakan pendapat yang sama tetapi dengan memberikan alasan lain bagi UMNO memboikot Permatang Pauh.

Saya tidak bersetuju dengan pendirian yang disuarakan Annuar dan Dr Latif yang dikatakan satu 'futile excercise' – tindakan yang hanya membuang, masa memandangkan betapa Anwar mempunyai pengaruh begitu kuat di Permatang Pauh. Mungkin apa yang disuarakan Annuar dan Dr Latif mempunyai rasional yang logik jika dilihat dari perspektif peribadi.

Bagaimanapun, kita perlu melihatnya dari sudut demokrasi dan ketelusan yang dibawa oleh kepemimpinan Pak Lah. Tidak kira sama ada pemanggilan pilihan raya kecil itu disengajakan oleh Anwar dan Pakatan Rakyat, namun apa yang nyata ia sesuatu yang sah dalam jentera pemilihan demokratik di negara ini. Berdasarkan ini maka BN/UMNO wajib bertanding untuk memberikan kesahihan prinsip dalam pilihan raya kecil itu. 'It is the spirit that matters, not the objective': Apa yang penting ialah semangat demokrasi dan bukan persoalan siapa yang akan menang. Sekiranya BN/UMNO memberikan persaingan walaupun ia berlaku di tempat lawan dan muncul sebagai pemenang, ini jelas menunjukkan permainan demokrasi yang berjaya selain hadiah bonus kepada UMNO sendiri.

Alasan Matthias kononnya UMNO perlu menangani isu-isu lain yang lebih penting seperti krisis pucuk pimpinan UMNO, hala tuju UMNO, ekonomi negara, masalah dalam parti-parti komponan BN, dan sebagainya tidak mencerminkan pegangan kepada prinsip demokrasi yang semakin menyerlah di bawah Pak Lah sekarang ini.

Dan dalam pada itu bukan semua pengundi di Permatang Pauh berdiri di bawah payungan Anwar dan PKR. Mereka juga memerlukan saluran untuk membuat pilihan.

Oleh itu, BN/UMNO perlu bertanding di pilihan raya kecil Permatang Pauh.

No comments: