Wednesday, April 16, 2008

Masa bulan madu telah berakhir...

Terjemahan bahagian pertama artikel eksklusif oleh Datuk Nur Jazlan Mohamed, Ahli Parlimen Kulai selama dua penggal untuk akhbar online The Malaysian Insider.

Oleh Datuk Nur Jazlan Mohamed

Kita perlu menghadapi kenyataan. Bulan madu telah berakhir. Barisan Nasional di bawah pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memenangi 91 peratus kerusi parlimen pada pilihan raya umum 2004 tetapi hanya 63 peraatus pada tahun ini.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Pak Lah Jumaat lalu kerana memberikan saya peluang bertanding pada pilihan raya baru-baru ini apabila tiada orang lain memberikan peluang tersebut. Bagaimanapun, saya berasa amat perlu memperkatakan apa yang perlu disuarakan walaupun tiada orang lain yang mahu bersuara – sama seperti apabila beliau memberikan saya peluang.

Saya tidak kurang ajar. Saya meminta supaya Pak Lah mempertimbangkan tindakan untuk berundur sebagai Perdana Menteri bagi menyekat Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah daripada terus mengacau parti dan usaha-usaha kita untuk membina semula UMNO setelah mengalamai kekalahan teruk pada pilihanraya umum 2008.

Pada pendapat saya, hanya peralihan yang licin akan dapat menyelamatkan parti daripada perpecahan. Dan ini perlu dilakukan secepat mungkin. Sekarang. Bukan esok. Bukan bulan depan. Bukan Disember.

Keputusan pilihanraya umum 2008 telah menyerlahkan sesuatu yang nyata. Pengundi muda telah menentukan keputusan. Mereka dilihat sebagai tidak sabar dan mendesak mahukan keputusan yang cepat.

Pada 2004 pengundi muda begitu tertarik dengan segala janji Pak Lah untuk lebih telus, menghapuskan rasuah dan nepotisme selain memberikannya mandat kuat untuk melaksanakan segala reformasi. Ini, pada pendapat saya adalah kemenangan Pak Lah dan bukan BN. Tetapi, malangnya pada 2008 para pengundi berasa Pak Lah tidak menunaikan janji tersebut sepenuhnya dan mereka pun mengundi menentang.


Tetapi kita tidak boleh menyalahkan pengundi tersebut. Mereka orang muda dan idealistik. Kita perlu menerima keputusan mereka. Kaum muda lebih tertarik menyokong pihak lain kerana mereka berasa akan mencapai matlamat lebih cepat daripada UMNO di mana ia dirasakan hanya melambatkan.

Akhirnya kita mendapati Ahli-Ahli Parlimen muda berusia linkungan 20an kini mewakili mereka dan memikul potensi untuk merubah suasana politik untuk selama-lamanya.

Saya tidak percaya UMNO akan dapat mengembalikan kedudukan unggulnya. UMNO perlu belajar dan berkelakuan seperti Golkar di Indonesia di mana parti tersebut masih berpengaruh walaupun sokongan akar umbi telah berkurangan dan parti itu tidak lagi berada di puncak politik Indonesia. Oleh itu, UMNO tidak akan mampu berubah secara beransur apabila pembangkang telah melalui perubahan radikal.

UMNO gagal merasakan perubahan yang berlaku di kalangan penyokong. Kegagalan ini menyebabkan BN hilang lima negeri selain hampir menghadapi nahas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. UMNO juga menghadapi masalah dengan pihak Raja kerana mereka tidak menyetujui pilihan Perdana Menteri di dua negeri.

Perdana Menteri telah dilemahkan oleh penafian pengundi muda dalam pilihan raya umum baru-baru ini dan seorang Perdana Menteri yang lemah tidak baik untuk UMNO.

Dan juga UMNO masih terlekat pada cara-cara lama untuk menyelesaikan masalah hinggakan kita sentiasa mempercayai bahawa UMNO adalah pusat alam politik Malaysia. Berpandukan persepsi ini kita percaya masalah-masalah Malaysia akan boleh diselesaikan dengan mudah dengan cara menangani masalah dalaman UMNO terdahulu dan kemudian baru menangani isu-isu nasional dengan harapan rakyat akan terus taat dan menyerah kepada keputusan parti itu.

Keadaan sekarang memerlukan supaya Pak Lah mengasingkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan presiden UMNO.

Pengundi telah membuat keputusan dan mereka tidak mahu Pak Lah sebagai Perdana Menteri dengan cara mengundi menentangnya pada pilihan raya umum lepas. Dan mereka tidak mengambil peduli siapa akan menjadi presiden UMNO kerana mereka sedang cuba menggantikan parti itu dengan sebuah institusi politik yang baru.

Masa berbulan madu telah brakhir. Leteran begitu ketara di dalam. Kita perlu menyelesaikannya sekarang juga.


No comments: