Saturday, January 19, 2008

Nik Aziz tidak yakin dengan PKR


 

Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata keyakinannya terhadap kredibiliti Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin terhakis sambil menyifatkan parti itu "mencelarukan".

Malahan, katanya, Pas lebih rela menghadapi pertandingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-12 nanti tanpa mengharapkan kerjasama daripada PKR.

Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah mingguannya di pejabat Pas di Kota Baru kelmarin, ketika diminta mengulas kenyataan PKR dalam sebuah akhbar baru-baru ini bahawa parti itu tidak mahu bertanding di Kelantan pada pilihan raya umum nanti.

Beliau berkata kerjasama dengan PKR sama seperti pengalaman Pas menjalin kerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46 (SM46) pada akhir 1980an dan awal tahun 90an.

"Kita sudah ada pengalaman bekerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46, kemudian parti itu berpecah dengan Pas dan dia masuk semula Umno," kata Nik Aziz.

Pada pilihan raya umum 2004, PKR bertanding tiga kerusi negeri dan satu kerusi parlimen di Kelantan tetapi tewas kesemuanya.

Ketika ditemubual oleh media Indonesia, Nik Aziz berkata Pas akan menyertai pilihan raya selagi sistem itu membolehkannya untuk mengekalkan pemerintahan di Kelantan.

Sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi, tidak mungkin Pas menolaknya dan menggunakan kekerasan dalam mendapat kuasa, katanya ketika ditanya oleh wakil Metro TV dari Indonesia mengenai kedudukan Pas dalam sistem pilihan raya di negara ini.

"Setakat ini itulah sistem yang ada di Malaysia untuk memerintah dan Pas akan menggunakan sistem itu," katanya.

No comments: