Thursday, December 27, 2007

Penduduk Kampung Peta rayu jambatan sementara dibina segera


Seramai 500 penduduk perkampungan Orang Asli di Kampung Peta di Taman Negara Endau-Rompin merayu pihak berwajib membina jambatan balak yang runtuh akibat arus deras pada 13 Disember lalu untuk memudahkan mereka mendapatkan bekalan makanan dari luar.

Penduduk kampung di Taman Negara Endau-Rompin sukar memindahkan bekalan makanan dengan menggunakan rakit usang untuk merentasi sungai berarus deras dan dalam.

Mereka berharap jambatan sementara sejauh 30 meter di Sungai Mas dibina oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana bekalan makanan mereka hanya mampu bertahan selama sebulan saja.

Azizul Rampuyam, 21, merayu jambatan sementara dibina sebelum sesi persekolahan awal Jaunari kerana rakit yang digunakan untuk mengangkut pelajar sekolah adalah berbahaya."Pihak berwajib tak datang menjenguk nasib kami, malah mereka tak berjanji pun bila jambatan ini boleh disiapkan," katanya.

Hamidun Bakar, 44, berkata pegawai daerah dan wakil rakyat di situ berjanji untuk membina jambatan tersebut pada tahun hadapan selepas mendapat peruntukan.

Othman Hussin, 25, berkata penduduk yang mempunyai gaji tetap tidak mempunyai masalah untuk membeli bekalan makanan yang dijual daripada peniaga di tebing sungai walaupun harganya meningkat dua kali ganda."Tapi bagaimana pula dengan kebanyakan penduduk kampung yang tidak bekerja, bekalan makanan mereka akan kehabisan kerana kebanyakan penduduk tidak dapat menoreh getah pada musim hujan," katanya.

Jalan melalui jambatan runtuh itu ke Kampung Peta merupakan satu-satunya jalan darat untuk ke Taman Negara Endau-Rompin. Ia boleh menjejaskan kehadiran pelancong jika jambatan tidak dibina segera.

No comments: