Calon pro-mahasiswa menggondol hampir kesemua 37 kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di Universiti Islam Antarabangsa di sini hari ini, satu-satunya kampus yang masih berjaya dikuasai kumpulan bukan pro-aspirasi sejak 2004. Calon pro-aspirasi pula hanya berjaya meraih tiga kerusi -- dua di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi dan satu lagi di Fakulti Senibina dan Reka Bentuk Persekitaran di kampus Kuala Lumpur. Kesemua 17 kerusi fakulti di kampus cawangan Kuantan pula tidak menyaksikan sebarang pertandingan daripada calon pro-aspirasi. Jumlah ini tidak termasuk lapan kerusi yang diperuntukkan untuk pelajar dari luar negara.
Seorang bekas pemimpin MPP berkata, tiga calon berkenaan adalah daripada kumpulan pro-aspirasi berdasarkan dakwaan yang dibuat mereka semasa berkempen semalam. Beliau berkata secara umumnya pelajar UIA tidak cenderung memilih calon daripada kem pro-aspirasi, kumpulan mahasiswa yang sering dilabel pro-kerajaan atau pentadbiran kampus.
"Jika calon tidak kata dia pro-mahasiswa, sukar untuk dapat undi majoriti," katanya.
Bagaimanapun peraturan pilihan raya di UIA, seperti di institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA), melarang pelajar membentuk atau berkempen secara berkumpulan. Rektor UIA pula mendakwa pengaruh pembangkang mulai pudar di kalangan calon-calon yang bertanding semenjak pelajar-pelajar diwajibkan mengundi pada 2003.
"Jika kita tidak buat peraturan begitu, pelajar tidak akan keluar mengundi. Dengan cara ini, jika mereka gagal untuk keluar mengundi, pelajar berkenaan perlu mengemukakan surat tunjuk sebab," kata Prof Datuk Dr Syed Arabi Idid ketika ditemui di pejabatnya hari ini.
Sebanyak 83.6% daripada 14,726 pelajar yang layak keluar membuang undi, termasuk 898 orang pelajar asing.
Dr Syed Arabi menambah, peraturan baru yang diperkenalkan sejak empat tahun lalu, antaranya, calon-calon yang membentuk kumpulan atau pakatan akan dibatalkan pencalonannya.
"Tidak ada keperluan pun untuk membuat pakatan, kerana perwakilan pelajar ini hanya berfungsi untuk menjaga kebajikan pelajar. Mereka tidak ada kuasa sebagai badan induk bagi menyelia pertubuhan-pertubuhan pelajar di kampus ini, tidak seperti di IPTA lain. "Di IPTA, MPP dikawal di bawah akta Akta Universiti dan Kolej Universiti dan pertubuhan ini (MPP) diberi kuasa untuk menguruskan dana, tetapi di sini, situasi itu tidak wujud. Tetapi kita berilah mereka pejabat untuk beroperasi," katanya.
"Status mereka tidak lebih daripada satu lagi kelab di universiti ini. Mereka juga bebas untuk mengkritik, tetapi suara mereka tidak berupaya untuk mengubah polisi universiti, jadi tidak perlulah mereka bergabung sesama sendiri."
Kumpulan pelajar "pro-mahasiswa", sebagai label yang membezakan mereka daripada "pro-aspirasi", di UIA pernah menggunakan slogan "We Unite for Islam atau WUFI." Kumpulan pro-mahasiswa memenangi majoriti 12 daripada 16 kerusi fakulti yang dipertandingkan tahun lalu, sementara selebihnya dimenangi tanpa pertandingan.
Pakatan calon-calon tersebut dikatakan punca utama barisan exco MPP di UIA digantung tanpa sebarang kegiatan selama empat bulan selepas pemilihan pada September 2006.
Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UIA Hamidon Abd Hamid bagaimanapun berkata "pergantungan" itu akibat kegagalan mereka mencapai kata sepakat untuk melantik presiden dan exco tertinggi MPP kerana sangsi dengan kecenderungan politik masing-masing.
"Satu pihak kata calon ini buat kumpulan, jadi dia tidak mahu sokong. Satu pihak lagi pun begitu juga. Jadi kami terpaksa beri mereka masa untuk selesaikan masalah tersebut," kata Hamidon.
Dipetik dari mStar
No comments:
New comments are not allowed.