Laporan polis dibuat terhadap akhbar-akhbar yang didapati mengganggu siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin. Difahamkan, pegawai penyiasat yang membuat laporan polis itu mendakwa akhbar-akhbar berkenaan menerbitkan berita yang tidak dapat disahkan dan tanpa asas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC (II) Mazlan Mansor berkata pegawai penyiasat ASP Loh Pei Pei membuat laporan polis itu semalam.
"Kami akan mengambil keterangan wartawan-wartawan yang menulis berita tanpa pengesahan dan asas itu yang boleh mengganggu siasatan polis.
"Pegawai-pegawai kami telah mengenal pasti akhbar-akhbar berkenaan dan wartawan-wartawan terbabit dan mereka akan dihubungi secepat mungkin," katanya.
SAC Mazlan berkata akhbar-akhbar itu menerbitkan berita yang bercanggah dengan siasatan polis dan memetik sumber-sumber yang tidak berautoriti. Katanya, laporan-laporan yang dianggap tidak bertanggungjawab seumpama itu menyukarkan polis menyiasat.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata media harus tidak menyebarkan spekulasi dan memetik sumber tanpa asas.
"Saya sudah maklumkan kepada media agar tidak membuat spekulasi kerana ia boleh mengganggu siasatan polis," katanya di akhir bengkel amalan kepolisan di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Musa bagaimanapun enggan mendedahkan nama media terlibat dan berkata ia masih dalam siasatan. Katanya, polis tahu apa dan bila masa yang sesuai untuk mendedahkan sesuatu siasatan kepada media.
"Apabila sesuatu laporan palsu timbul, polis tiada pilihan kecuali menyiasatnya," tambahnya.
Dari mStar
No comments:
New comments are not allowed.