Kepada mereka yang berpemikiran sempit apa yang diluahkan oleh Tun itu terlalu mudah untuk dikecam tanpa menghayati pengertiannya sebenar.
UMNO tetap UMNO – sebuah parti Melayu yang memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara. Tetapi sebagai ahli yang sayangkan parti hingga ke senja kehidupanya apakah apa yang diperkatakan oleh tokoh veteran itu sesuatu yang tidak menampakkan kebaikan?
Jika ada di antara pemimpin kanan UMNO masakini yang berasa komen seperti itu tidak sepatutnya diluahkan, mereka ketara sekali tidak menyayangi UMNO, bangsa dan negara.
Apakah mereka begitu taksub dengan sikap 'righteousness' hinggakan tidak boleh menerima hakikat bahawa UMNO juga tidak terkecuali daripada digugat kepincangan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan macam-macam lagi penyakit.
Jika ahli dan pemimpin UMNO menafikan kewujudan elemen-elemen negatif seperti ini, saya rasa mereka sama ada sedang bermimpi di siang hari ataupun mempunyai agenda sendiri untuk menrealisasikan hasrat peribadi yang serong.
Kita bertanyalah kepada diri sendiri: jika UMNO dan kerajaan yang dipimpinnya serba bersih tanpa sebarang kecacatan, mengapa isu pemulihan integriti dan usaha pembasmian rasuah begitu terselerlah kini?
Ahli dan pemimpin UMNO tidak sepatutnya melihat senario sekarang yang begitu mencabar kepada negara dan parti sebagai pembahagian ketara di antara pihak yang menentang secara rambang dan yang bersuara demi kebaikan parti, agama, bangsa dan negara. Mereka ini bukanlah musuh. Suara merekalah yang amat diperlukan sekarang ini.
Saya percaya UMNO akan terus kekal menerajui kerajaan di pilihan raya akan datang. Bagaimanapun, sekiranya kritikan membangun yang disuarakan oleh golongan dalam parti tanpa agenda peribadi diketepikan, kepercayaan ahli-ahli diakar-umbi nescaya akan merosot, justeru membawa kepada kemusnahan UMNO pada masa-masa akan datang.
No comments:
New comments are not allowed.