Dipetik dari Malaysiakini Ogos 15 2007 |
Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein enggan mengulas sama ada beliau akan terus mengekalkan jawatan tersebut dalam pemilihan parti akan datang. Katanya, soal jawatan bukan merupakan keutamaan beliau sekarang, sebaliknya mahu menumpukan perhatian kepada persiapan menghadapi pilihanraya umum tidak lama lagi.
"Jawatan (dalam parti) bukan menjadi sesuatu yang saya utamakan sekarang kerana fokus saya ialah persiapan parti dan Pemuda Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang. Saya telah mengingatkan para pemimpin Pemuda supaya memfokuskan kepada gerak kerja bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang," kata beliau yang juga Menteri Pelajaran dalam sidang media selepas mesyuarat bulanan pergerakan itu di ibu negara petang semalam. "
Hishammuddin berkata demikian ketika ditanya adakah beliau sekali lagi akan bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno dalam pemilihan parti tahun depan.
Dalam pemilihan lalu, beliau dilaporkan sebagai berkata, penggal ini merupakan yang terakhir untuk beliau menjadi Ketua Pemuda Umno. Beliau disebut-sebut akan bertanding jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan akan datang. Pemilihan Umno yang sepatutnya diadakan tahun ini telah ditangguhkan dan akan diadakan selepas pilihanraya umum akan datang yang dijangka awal tahun depan.
Hishamuddin berkata, Pemuda BN, khususnya Pemuda Umno telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.
Tunai janji
Menurutnya, seseorang yang memegang jawatan utama dalam Pemuda Umno tidak semestinya akan menjadi calon secara automatik sama ada bagi kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Saya ingin menjelaskan bahawa (menjadi) ketua Pemuda negeri-negeri bukan bermakna mereka akan bertanding dalam pilihanraya umum akan datang. Ia mengambil prinsip jika wakil rakyat sedia ada berkhidmat dengan baik, mereka tidak perlu diganti, tetapi jika tidak sesuai, tidak ada sebab pula tidak boleh diganti," katanya.
Mengenai kajian yang dibuat oleh Merdeka Center yang mendakwa masyarakat keturunan Cina tidak gembira dengan pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekarang, Hishamuddin berkata, pengundi Cina akan tetap mengundi calon BN. Katanya, BN akan menunaikan semua janjinya yang dibuat dalam pilihanraya umum lalu dan perkara ini telah dijelaskan kepada rakyat di seluruh negara.
Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab Pemuda BN untuk menerangkan kepada orang ramai mengenai apa projek yang dibuat oleh Perdana Menteri itu.
"Kawasan saya iaitu Parlimen Semberong mempunyai 52 peratus pengundi bukan Bumiputera tetapi saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan mereka. BN adalah untuk semua, kita tunaikan janji dan biar orang ramai yang menilainya dan bukannya melalui kajian yang dibuat oleh institut tertentu," katanya.
No comments:
New comments are not allowed.