Tuesday, August 28, 2007

Kanak-kanak bawah umur sebagai blogger sosio-politik? Apakah Jadahnya?


Pada 25 Ogos baru-baru ini kira-kira 100 orang blogger telah mengadakan perjumpaan di sebuah rumah di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Rumah yang sekali gus di namakan Blog House (Rumah Blog) itu antara lain menjadi saksi kepada pelancaran satu lagi pergerakan penulis blog yang dinamakan Pelitar (singkatan untuk Penyanyang Legasi dan Inspirasi Tunku Abdul Rahman).

Matlamat Pelitar ialah untuk membawa aspirasi Bangsa Malaysia ke seluruh pelusuk negara. Antara yang hadir pada majlis tersebut termasuk beberapa ahli politik seperti Dato' Zaid Ibrahim dan Tony Puah. Turut hadir Malik Imtiaz (peguam dan Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan, HAKAM), profesor Undang-Undang Universiti Malaya Azmi Shahrom, Jeff Ooi yang baru menjadi ahli DAP, Nuraina Samad, Marina Mahathir, Nathaniel Tan, Zaharin Yasin, Ahiruddin Atan (Rocky) dan ramai lagi.

Pada dasarnya tujuan Pelitar dilihat sebagai sesuatu yang baik demi perpaduan rakyat Malaysia. Bagaimanapun, apabila dilihat di sebalik 'misi' persatuan ini berdasarkan barisan penyokong-penyokong utamanya, seseorang yang bermaklumat mungkin akan agak tersentak dengan pelbagai persoalan.

Mungkin ada yang mempersoalkan kehadiran individu seperti Jeff Ooi, Zaharin Yasin, dan Tony Puah, antara lain. Mereka ini masing-masing pernah berada di tengah-tengah beberapa kancah kontroversi . Zaharin, memang ramai yang dah tahu. Dia dipecat dari UMNO dan kini jelas menggadaikan maruahnya dengan bertopengkan sebagai aktivis keadilan dan penentang rasuah. Pada yang mengenali Zaharin, tidak payah untuk merumuskan apa agenda beliau sebenarnya di situ.

Masing-masing yang berada di majlis tersebut jelas mempunyai agenda tersirat sama ada secara terbuka atau tersembunyi. Mengapa mereka duduk semeja? Adversity brings us together adalah ungkapan Inggeris yang amat sesuai untuk mentafsirkan keadaan ini. Ia bermaksud matlamat penentangan musuh yang sama membawa mereka kepada perpaduan. Dalam erti kata lain, walaupun agenda masing-masing berbeza, namun mereka kesemuanya menganggap musuh yang dihadapi adalah entiti yang sama .

Di antara tokoh-tokoh yang hadir ada yang mempunyai agenda dan perjuangan yang kita tidak dapat menafikan sebagai untuk kebaikan Malaysia secara amnya. Tetapi ada juga sebahagian besar yang kita tahu hanya bermuka-muka walhal misi sebenar mereka ialah ke arah kehancuran perpaduan bangsa dan negara demi meraih sokongan bagi agenda politik masing-masing.

Mereka dalam kategori kedua ini menganggap diri sebagai begitu terhormat dan mulia walhal realitinya amat bercanggah. Penubuhan pelitar sebagai pemangkin usaha perpaduan konsep Bangsa Malaysia jelas sudah tercemar daripada mula.

Keadaan ini menjadi semakin menjijikkan apabila terdapat beberapa anak sekolah di bawah umur yang turut digembeling tenaga dalam memperbanyakan suara dan 'variety' dalam pergerakan tersebut. Jika ditanya, kemungkinan besar kesemua ahli dewasa dalam kumpulan itu akan menjelaskan bahawa kanak-kanak itu menawarkan diri mereka secara sukarela. Di antaranya termasuk adik Aisyah (anak kepada seorang aktivis dan blogger) yang masih berusia 11 tahun dan Aiman 12 tahun.

Kedua-dua kanak-kanak ini diterima sebagai cadre kumpulan aktivis blogger secara sebulat suara. Blogger-blogger dewasa tidak sedikit pun mengambil peduli akan eksploitasi juvena sebegini. Apalah yang kedua-dua kanak-kanak ini tahu tentang politik jika tidak disogok dan ditanam dengan idealisme oleh penjaga dan orang dewasa di kalangan mereka?

Aisyah mempunyai blog sendiri, iaitu ' Yea, Sure, Whatever.' Klik di sini untuk melihat blognya. Tidak, adik Aisyah adalah seorang daripada generasi yang bakal mewarisi negara ini. Penapakkannya amat dibanggakan, tetapi risiko dipengaruhi agenda dan ide-idea negatif mentor yang sekumpulan dengannya amat dikhuatiri.

Pada mereka yang cuba mempertahankan kesediaannya untuk mula mengasah bakat sebagai aktivis blog, saya rasa cubalah di kaji semula rancangan ini. Aisyah pada usia 11 tahun memerlukan segala kebebabasn untuk membesar dengan sihat sehingga mencapai usia kedewasaan di mana dia akan sendiri dapat menilai keadaan.

Kita marah apabila anak-anak berusia semuda ini 'diperalatkan'. Ia begitu berbahaya dan tidak bertanggung-jawab. Kita pernah marah satu ketika dulu apabila ada ibu-bapa yang menghasut anak-anak kecil mereka meludah dan memijak gambar Tun Mahathir. Apakah bezanya senario itu dengan senario yang bakal diharungi oleh adik Aisyah ini?

Sememangnya setakat ini blog adik Aisyah tidak berbaur partisan politik atau ideologi negatif, malahan begitu mulia sebagai anak Bangsa Malaysia. Tetapi apakah jaminan yang status quo itu akan kekal?

No comments: