Monday, January 19, 2009

MB Perak dicucuk hidung...


Menteri Besar Perak Nizar Jamaluddin dicabar mendedahkan sama ada keputusan exco kerajaan negeri memberi hak milik tanah kekal kepada penduduk kampung baru dicapai sebulat suara ataupun mendapat bantahan pihak tertentu.

Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP) Datuk Seri Hilmi Ismail tidak yakin keputusan itu dibuat sebulat suara kerana kerajaan negeri anggota gabungan DAP, PKR dan PAS.

"Saya percaya Menteri Besar diberi nasihat oleh Tuanku Sultan sebelum perkara itu dibawa ke mesyuarat exco tetapi dalam mesyuarat exco, beliau kalah dengan suara-suara (daripada DAP) yang menguasai exco kerajaan negeri," katanya.

Hilmi menempelak Nizar berhubung kenyataannya dalam sebuah akhbar hari ini bahawa tiada sebab untuk beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar berhubung isu pemberian hak milik tanah kekal itu kerana beliau (Nizar) yakin perkara itu tidak mengguris perasaan Sultan Azlan dan Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah.

"Saya tidak faham bagaimana kenyataan itu boleh dikeluarkan kecualilah Menteri Besar tidak membaca titah Raja Dr Nazrin," katanya merujuk titah Raja Muda Perak ketika menutup Kongres Ekonomi Islam Ketiga pada Jumaat lepas bahawa Raja-Raja Melayu telah menzahirkan teguran terhadap rancangan penempatan semula kampung baru pada tahun 1950 yang dianggap mencuri hak tanah kepunyaan Melayu.

"Titah Raja Dr Nazrin sendiri jelas menyatakan bahawa pada 1950 Raja-Raja Melayu dah bantah tapi dia (Nizar) ulang balik perkara yang kurang disenangi itu (dengan memberi hak milik tanah kekal)," kata Hilmi.

Mengulas kenyataan Nizar bahawa apa yang dilakukannya adalah untuk kebaikan rakyat, Hilmi berkata jika ianya sesuatu yang baik, kenapa pula manfaat itu tidak diberi kepada semua penduduk Perak.

No comments: