Monday, November 10, 2008

Tidak mungkin wujud PM Melayu di Singapura


Tidak dipertikaikan asal-usul Singapura.

Semasa pedagang Inggeris Stamford Raffles menjejak kakinya di pulau itu pada 1819, penduduknya rata-rata orang Melayu. Singapura pada ketika itu ditadbir oleh seorang Temenggong yang berkiblatkan Sultan Johor. Kini penduduk Melayu di Singapura hanya tinggal 14 peratus dari jumlah rakyatnya. Selain dari Yusof Ishak (yang sebenarnya orang Malaya), teman karib Lee Kuan Yew yang menjadi Presiden pertama republik itu, tidak ada pemimpin Melayu yang mencecah mercu kepimpinan kerajaan. Selama 43 tahun merdeka, Singapura telah mengenali tiga Perdana Menteri, semuanya berbangsa Cina.

Apakah kemungkinan Singapura akan diterajui oleh seorang Perdana Menteri bukan Cina? Seorang Melayu? Tak kiralah samada berdarah Jawa, Boyan, Bugis, Siam, Arab, India ataupun Minang, asal jiwanya sawo matang?

PM Hsien Loong ditanya soalan ini semalam semasa berdialog dengan anggota masyarakat Melayu di Singapura.

Jawab beliau: Singapura belum bersedia untuk memilih PM bukan Cina dalam tempoh terdekat.

"Kemungkinannya ada, ini bergantung kepada cara penduduk mengundi dan siapa yang mendapat keyakinan rakyat. Adakah ini akan berlaku tidak lama lagi? Saya tidak fikir begitu ...".

Bagi Melayu di Singapura, realiti kedudukan mereka memang mengharukan. Rakyat Singapura berketurunan India, yang merupakan bangsa pendatang seperti kaum Cina, adalah lebih kecil (9 peratus) tapi mempunyai peranan politik yang lebih menyerlah. Presiden Singapura ialah seorang berketurunan India manakala seorang daripada dua Timbalan PM Singapura serta tiga menteri dalam Kabinet Hsien Loong adalah dari kaum India.

No comments: