Thursday, November 20, 2008

Rafidah tidak lagi mendapat sokongan padu


Lebih 100 bahagian menyokong Shahrizat untuk bertanding jawatan ketua Wanita Umno Mac ini, kata exco pergerakan itu, Raja Ropiah Raja Abdullah.

Raja Ropiah yang juga ketua Wanita Umno bahagian Petaling Jaya Utara itu berkata, sekurang-kurangnya lima negeri memberi sokongan penuh kepada Shahrizat untuk mencabar Rafidah Aziz.

Katanya, ini bermakna Rafidah tidak lagi mendapat sokongan padu dari negeri-negeri yang sebelum ini menyokong Rafidah.

"Saya merasakan Rafidah tidak lagi boleh mengatakan ahli-ahli Wanita masih mahu beliau memimpin pergerakan itu.

"Saya menerima panggilan telefon dari ahli Wanita dari seluruh negara setiap hari yang mahu supaya Shahrizat mencabar Rafidah untuk jawatan ketua Wanita," katanya lagi.

Raja Ropiah berkata, alasan utama mereka mahu Shahrizat bertanding ketua Wanita ialah mereka tidak mahu Shahrizat menjadi pemangku selama tiga tahun.

Ini, katanya, ia tidak akan menguatkan kedudukan Wanita Umno terutamanya untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Beliau berkata, Rafidah perlu menerima hakikat dengan perubahan semasa iaitu Wanita Umno mahukan perubahan kepimpinan.

No comments: