Tuesday, November 18, 2008

Signifikan Melayu dan Pribumi dalam Sejarah dan Perundangan


Ucaptama YB Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Luar Malaysia
di Majlis Wacana Isu Perundangan dan Hak-Hak Pribumi
Anjuran PERKASA Kuala Lumpur, 16 November 2008


 

Mukaddimah

KEBELAKANGAN ini terlalu banyak cemekan yang menghina orang Melayu. Seolah-olah Melayu sudah hilang marwah dan hilang punca. UMNO diberi katadua bila seorang pemimpinnya mengatakan bahawa dalam lipatan sejarah ada penumpang di negeri Melayu; bangsa diberi malu di tanah air sendiri. Kerja perli dan mengaibkan ini dilakukan oleh pelbagai pihak terhadap kedudukan utuh Bangsa Melayu khususnya dan kaum pribumi di Malaysia 'amnya.

Pada masa-masa tertentu didapati seolah-olah fakta dan sejarah menjadi alat mainan politik masing-masing lalu Melayu dan pribumi ditempelak, dipertikai, dicemuh dan dihina. Seorang Timbalan Menteri dari parti Gerakan lantas mendakwa pada 10 Oktober lalu di majlis rasmi parti nya, bahawa orang Melayu kononnya sama saja dengan kaum-kaum lain sebagai pendatang ke Negara ini. Pemimpin celupar itu yang secara kebetulan memenangi kerusi Dewan Rakyatnya di Perak Mac lalu atas sokongan pengundi Melayu akhirnya merumuskan jika tak faham sejarah jangan memandai-mandai. Sementara itu ada pula pihak lain yang meluahkan pendapat bahawa kononnya Melayu tak ada mempunyai taraf ketuanan.

Terbaru ialah pandangan bahawa lantaran Barack Obama baru saja menang pilihanraya di Amerika Syarikat justeru di Malaysia juga perlu ada situasi di mana sesiapa saja harus boleh jadi Perdana Menteri. Ini bukan perkara baru kerana Per. 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan memang tiada menekankan bangsa mana yang harus dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Cuma, sebagaimana Lee Hsien Loong PM Singapura berkata di pulau republik itu baru-baru ini – tidak praktikal bagi orang bukan-Cina jadi PM. Begitu jugalah di Malaysia, PM masa depan harus terdiri dari kalangan yang bangsanya majoriti di Malaysia. Lantaran Melayu dan pribumi memegang kedudukan majoriti, seharusnya siapa jadi PM tentulah sesuatu yang di putuskan oleh mereka dan bukan oleh bukan Melayu.

Mereka yang lebih jauh igauannya melontarkan pendapat bahawa di Malaysia kononnya diskriminasi begitu hebat hingga segala prasarana politik dan sosial yang selama ini menjadi sifat semulajadi kenegaraan dan negarabangsa perlu dipinda atau diubah supaya wujud suasana sama rata dan sama rasa. Ini hanya boleh dilakukan melalui suara majoriti dalam sistem demokrasi. Apa yang ada pada Perlembagaan Persekutuan itulah yang harus kita hormati kerana dokumen Negara itu adalah hasil perjuangan bersama yang sebahagian besar daripadanya merupakan kontrak sosial yang pokok. Soal hendak meminda perlembagaan adalah soal lain, sesuatu yahg harus bergantung pada kekuatan politik sesuatu kumpulan.

Ramai orang Melayu terasa tersinggung dengan luahan-luahan yang mempersenda bangsa mereka. Ramai pula yang tak puashati lantaran tiada tindakan setimpal yang diambil oleh pihak-pihak tertentu bila Melayu dipersenda sedemikian rupa. Tetapi ramai pula yang terus dalam keadaan tak kisah dan lantas membiarkan sahaja polemik pribumi ini dipermainkan di arena politik kelompok masing-masing.

Masih ingatkah kita peristiwa di mana Melayu diberi amaran supaya jangan lagi melibatkan keris dalam soal-soal perjuangan? Masih ingatkah kita siapa yang mengatakan Melayu itupun pendatang dan semua juga pendatang ke negara ini? Masih ingatkah kita bila Ahmad Ismail mengingatkan fakta sejarah tentang situasi 'menumpang' dan 'pendatang? Sekarang Ahmad Ismail telah digari oleh partinya sendiri. Tetapi mereka yang menghina masyarakat Melayu dan pribumi masih berdiri di busut tinggi sambil ketawa menghilai dan bertepuk tangan. Ketua pemuda kita pernah di beri amaran jangan cium keris lagi. Kini pula kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menjadi condong akibat dasar sosialis kerajaan baru P.Pinang. Kemudian berlaku pula amalan tangkap lepas, tangkap lepas di sisi undang-undang keselamatan negara yang selama ini menjamin ketenteraman awam. Seolah-olah kuasa politik dan undang-undang yang ada sudah luntur. Memang boleh dibandingkan dengan pepatah bila pohon tumbang kura-kura pun naik.

Dalam persekitaran inilah kita berpolemik hari ini. Mari kita susur sejarah. Kemudian kita kaji undang-undang Negara kita. Akhirnya kita rumuskan apa harus dibuat bagipihak orang Melayu dan kaum pribumi agar masa depan anak cucu kita tidak kacau. Agar kita dan mereka tidak tercari-cari atau teragak-agak tentang haluan dan kedudukan bangsa. Agar kita jangan seperti pantun bidalan:

Udangnya banyak di hilir
Ikan diatur dengan galah
Undang-undang memang mahir
Tapi bicara kita kalah

Dengan latarbelakang dan suasana begini kita harus meneliti semula kedudukan orang Melayu dan pribumi dari dua aspek, pertama dari sudut sejarah dan kedua dari sudut perundangan. Kedua-dua aspek ini sebenarnya berkait rapat. Sementara undang-undang adalah peraturan dan syarat yang dicipta manusia melalui penguatkuasaan legislatif atau lunasan di Raja (royal prerogative) fakta sejarah adalah laluan hidup dan tamadun sesuatu bangsa. Tentunya sejarah bersandar kepada fakta tarikh dan zaman. Walaupun sebab-musabab atau huraian sejarah mungkin boleh dihujjah dan dipertikaikan menerusi sentimen politik, agama dan budaya masing-masing, ianya tetap menimbulkan kenyataan yang mengikut sarjana dinamakan fakta sejarah atau historical fact.

(a) Fakta Sejarah boleh dianggap sebaga faktor utama yang meneguhkan hujjah bahawa orang Melayu atau stok Melayu itulah yang mula-mula mendiami Semenanjung Tanah Melayu yang dikenali dunia sebagai Malaya (Land of the Malays).

Ini adalah sepertimana India adalah negeri orang keturunan bangsa India yang stok asalnya berunsur Dravidian; sepertimana orang Arab di Timur Tengah khususnya di Arab Saudi; sepertimana negeri Cina dinamakan Cina lantaran bangsa Cina yang bertamadun 5,000 tahun itu mendiami dan mewarisi negara itu turun-temurun; atau sepertimana England didiami Anglo-Saxon. Struktur dan susunan seperti ini terpakai dan diiktiraf di kebanyakan negara dan bangsa di dunia ini.

Sepertimana Christopher Columbus menemui Red Indians di benua Amerika pada abad ke-15 sebagai penduduk asal benua Amerika, begitulah juga I-Tsing, seorang sarjana Cina yang menetap lama di Palembang sekitar 671 masihi, menggunakan istilah Moloyu1 untuk merujuk kepada orang Melayu yang tinggal di kepulauan Melayu termasuk Semenanjung Tanah Melayu, Pengembara-peniaga Arab pada abad ke-7 juga menyebut beberapa kawasan negeri Melayu seperti Pahang, Temasik, Terengganu, Jambi dan lain-lain dalam catatan mereka. Temasek, Jawa, Inderagiri dan kepulauan lain di kawasan lautan Tenggara lazim kemudiannya dinamakan Nusantara2 oleh para sarjana tempatan. Saudagar Arab yang menjelajah Perlak di Acheh pada 1242, Melaka 1420, Sulawesi 1470, dan lain-lain kawasan kepulauan rantau ini juga mengIslamkan Raja-raja Melayu yang pada masa itu rata-rata beragama Hindu dan menamakan mereka sebagai Sultan walaupin nama dan terma-terma Sanskrit serta beberapa amalan budaya Hinduisme masih berpengaruh, terutama berkaitan kepercayaan animisme dan semangat.

Walaupun pedagang India mula intim dengan Melaka selang beberapa tahun selepas Parameswara membuka negeri Melaka pada tahun 1403, pedagang Cina hanya mula pesat di Melaka selepas pelayaran Cheng Ho. Masyarakat Nyonya-Baba dipercayai mula bertempat selepas tahun 1413. Tetapi apa yang harus diambil sebagai kenyataan atau fakta sejarah ialah bahawa Melayu adalah penduduk hakiki berkurun-kurun sebelum Melaka dibuka. Melayu sebagai warga asal Semenanjung Tanah Melayu dan Nusantara sudah difaktakan sejarah. Jika ini masih dikhuatiri sebagai kurang cukup sebagai bukti, Sejarah Melayu penulisan klasik Tun Sri Lanang amat memadai sebagai bukti bahawa orang Melayu dan raja mereka adalah bangsa asal di kepulauan Melayu dan Semenanjung Tanah Melayu.

Kisah antiquiti berkaitan personaliti pra-sejarah seperti Raja Suran, Wan Empok Wan Malini di Bukit Siguntang, Demang Lebar Daun, Sang Sapurba, Sang Nila Utama, Cati Si-Bilang Pandai, Raja Seri Maharaja, Datuk Perpateh Nan Sebatang dan Datuk Temenggung – semua ini adalah ikon keturunan kita yang menerokai dunia sebelah sini sekurang-kurangnya semenjak 2,500 tahun lalu. Dr. Heine Geldern dan Dr. Van Stein Callenfels dua orang sarjana autoritatif tentang asal-usul Melayu menyatakan perihal ini dengan jelas. Sarjana berdua ini juga memperakui bahawa orang Melayu proto pernah menjelajah jauh hingga ke Pulau Easter dan Madagascar. Dan menurut Richard Winstedt, stok keturunan Melayu menjangkau jauh hingga menakluki Polenesia 3.

Di zaman Inggeris bertapak di Semenanjung yang secara kasarnya antara 1874 hingga 1957 tenaga buruh India dan Cina dibawa masuk bagi memenuhi kehendak politik dan ekonomi mereka 4. Pada suatu tempoh masa dalam tahun-tahun 1920han bukan Melayu lebih ramai daripada Melayu di Semenanjung. Buruh India untuk kerjaraya, perladangan getah dan perkeranian; kaum Cina untuk sektor perlombongan, perniagaan runcit dan keperluan pentadbiran negeri-negeri Selat seperti Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Untuk menyamakan kedudukan orang Melayu di Semenanjung dan pribumi di Sabah Sarawak dengan asal-usul keturunan kaum pendatang amatlah menyeleweng dan bersifat tidak jujur.

(b) Pencorakan Kuasa politik yang diterjemahkan melalui kuasa pememerintahan

Tanpa menghitung panjang lebar mengenai kuasa pentadbiran Inggeris, satu-satunya institusi tradisional yang mereka tidak berjaya menghapuskan ialah hak-hak keitimewaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Apa yang sebenarnya dianggap sebagai ketuanan Melayu itu ialah kedaulatan dan keistimewaan Raja-Raja Melayu. Ini adalah kerana institusi Raja atau kesultanan Melayu itu sentiasa rapat dengan psyche keMelayuan. Secara tradisi pentadbir Inggeris seperti Frank Swettenham, Hugh Clifford, Mubin Sheppard dan lain-lain pentadbir Inggeris sering memperlihatkan sifat simpati mereka terhadap orang Melayu. Ini adalah kerana mereka menyedari kedudukan dan hak orang Melayu sebenar. Swettenham pernah berkata "the Malays have their own outright position as native inheritors of their land." 5

Dalam The Federation of Malaya Agreement 1948 atau Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, semasa Bintang Tiga dan gerombolan penjahat komunis bergelut untuk merampas Malaya dari tangan British, pegawai-pegawai tinggi mereka terus bersedia dan bersimpati terhadap kepentingan orang Melayu sebagai penduduk dan pewaris asal. Perkara-perkara pokok seperti hak hak keistimewaan orang Melayu, hak kedaulatan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, agama Islam dan adat istiadat Melayu antara lain diberi peruntukan di dalamnya. Perjanjian ini sah mengatakan bahawa kepentingan orang Melayu dan kaum-kaum lain tidak disia-siakan. Perjanjian inilah yang menjadi asas rujukan Suruhanjaya Reid 9 tahun kemudian yang merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Dalam laporan Suruhanjaya Reid terkandung ayat ini:

The Alliance in their memorandum said – The Constitution should therefore provide that the Yang di-Pertuan Besar (Agong) should have the special responsibility of safeguarding the special position of the Malays.6

Ungkapan rasmi tersebut membuktikan bahawa kontrak sosial atau ikatan kemasyarakatan seperti yang dipeturunkan di atas adalah persetujuan yang mengiktiraf kedudkan khas orang Melayu disisi kaum-kaum di Malaya ketika itu. Hasrat politik itu lantas dijadikan Perkara 153 di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Walaupun Perlembagaan Persekutuan telah dipinda 45 kali, peruntukan ini kekal sehingga kini di bawah Perkara yang sama. Bahasa perundangan yang digunakan di bawah Per. 153 adalah bersifat wajib kerana klausa (1) memperuntukkan:

Adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputra mana-mana Negeri-negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

Peruntukan ini sebenarnya lebih tegas lagi bahasanya di dalam versi Bahasa Inggeris kerana ayat awalannya berbunyi "It shall be the responsibility of the Yang di-Pertuan Agong to safeguard the special position of the Malays and the legitimate interests of other communities…" Dengan lain takrif, Yang di-Pertuan Agong tak dapat tiada wajib memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta Bumiputra dan kepentingan2 sah kaum-kaum lain di Negara ini.

Dari sini kita harus melihat kandungan peruntukan 153 selebihnya. Klausa (2) mentakrifkan bahawa Yang di-Pertuan Agong dalam tugas baginda memelihara kedudukan istimewa orang Melayu adalah tertakluk kepada Perkara 40 Perlembagaan yang mewajibkan nasihat Kabinet atau salah seorang daripada Menteri yang bertindak menasihati baginda. Dalam konteks inilah Yang di-Pertuan Agong berkuasa merezabkan sebahagian jawatan dalam perkhidmatan awam. Klausa 153 (2) juga menyebut tentang permit atau lessen, biasiswa atau bantuan. Per 153 amat luas kerana adanya perkataan "atau lain-lain kemudahan khas". Klausa (3) pula memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan arahan berkaitan pemberian keistimewaan-keistimewaan tersebut. Penting disebutkan di sini bahawa sekali bantuan atau keistimewaan itu diberikan, ianya tidak boleh dilucutkan sewenang-wenangnya.

PERUNTUKAN-PERUNTUKAN TRADISI YANG ASASI DI BAWAH PERUNDANGAN NEGERI PERSEKUTUAN

Setiap Perlembagaan sesebuah Negara sedia mengandungi apa yang diiktiraf sebagai peruntukan-peruntukan "entrenched" atau yang tidak boleh diubah atau dipinda melalui proses biasa, yakni dengan hanya kelulusan 2/3 dari anggota Dewan Rakyat yang hadir bermesyuarat. Peruntukan-peruntukan itu seperti yang disenaraikan di bawah hanya boleh dipinda dengan persetujuan Majlis Raja-Raja 7:

  • Per. 10 (4) [perihal kuasa Parlimen membuat undang-undang cegahan berkaitan keselamatan negara, keistimewaan-keistimewaan dan kewarganegaraan],
  • Bahagian 3 (Kewarganegaraan),
  • Perkara 38 (Majlis Raja-Raja),
  • Per. 63(4) (Keistimewaan-keistimewaan Parlimen),
  • Per. 70 (Keutamaan Yang Di-Pertua Negeri dan Raja),
  • Per. 71(1) (Jaminan Kerajaan Persekutuan terhadap Perlembagaan negeri],
  • Per. 152 (Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan),
  • Per. 153 (Hak dan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra),
  • Per. 181 (Kedaulatan & keistimewaan Raja-Raja Melayu)


RUMUSAN pertama yang boleh dibuat ialah bahawa Kuasa pengimbang tetap ada pada Raja-Raja Melayu samada yang ada pada Yang di-Pertuan Agong, para Sultan masing-masing atau pada Majlis Raja-Raja yang berfungsi di bawah Per. 38. Di semua negeri di Semenanjung, misalnya, hanya orang Melayu yang boleh di lantik sebagai Menteri Besar tetapi hal yang sama tak wujud di Persaekutuan, di Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Per. 43 (2) syarat pelantikan seseorang Perdana Menteri hanyalah jika pada pendapat YDA seseorang itu mendapat sokongan ramai Dewan Rakyat. Dalam keadaan ini tentunya suatu hari nanti seorang warganegara Malaysia bukan Melayu boleh menjadi PM. 8

Walaupun ini merupakan sesuatu yang kurang menggembirakan para nasionalis Melayu, namun realitinya adalah sedemikian. Inilah yang menyebabkan seseorang ketua pembangkang di Dewan Rakyat akan sentiasa cuba mendapatkan sokongan majoriti daripada keanggotaan Dewan itu. Dalam konteks yang sama YDA mempunyai tiga fungsi dan kuasa yang tidak boleh di persoalkan:

(a) pertama melantik seseorang Perdana Menteri 9;
(b) kedua tidak memperkenankan membubar Parlimen (apabila didesak oleh sesuatu pihak); dan
(c) meminta supaya diadakan satu mesyuarat Majlis Raja-Raja mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja dan mengambil tindakan darihalnya.


Kuasa ini juga wujud di bawah Perlembagaan semua negeri beRaja. Peristiwa di Perlis dan Terengganu pada bulan April 2008 jelas menukilkan fakta ini. Walau apapun yang dipertikaikan faktanya ialah Raja Melayu mempunyai kuasa mutlak walaupun ada pihak-pihak yang menyatakan bahawa Raja mesti ikut nasihat dalam menentukan sesuatu di bawah Per. 40 Perlembagaan. Pada suatu hakikat ini memang benar tetapi harus difahami bahawa bahasa perundangan yang sedia ada di bawah Per. 43(2) cukup jelas untuk membenarkan Raja bertindak melantik Perdana menteri mengikut pandangan subjektifnya. 10

Ini bermakna keistimewaan orang Melayu dan Bumiputra bukanlah tanpa sempadan dari segi realitinya. Justeru, keistimewaan itu harus dilampini dengan perolehan dan kepakaran ilmu secara berterusan. Ekonomi Bumiputra seharusnya kini melebihi paras 30% dari segi perolehan asset. Malangnya Bumiputra masih dikatakan berada ditahap kurang dari 20%. Mungkinkah kaedah atau cara kita membuat perkiraan silap? Mungkin juga kaedah pengumpulan data tidak memasukkan fakta-fakta wajib yang lain. Sebagai warga Malaysia yang majoriti tiada salahnya jika cita-cita politik UMNO misalnya ingin mencapai 50% atau 60% sejajar dengan populasi Malaysia diwakili Melayu dan pribumi. Dari sudut ini jelas bahawa penggunaan kuasa politik selama ini telah kurang berjaya memperjuangkan kaedah atau mekanisme penyampaian dasar DEB itu walaupun dari segi pembangunan banyak kemajuan tercapai.

Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan di Negara ini memerlukan kaedah penggunaan yang baru. Ia harus dijadikan bahasa ilmu, bukan hanya setakat bahasa komunikasi dalam konteks kedudukannya sebagai bahasa Kebangsaan. Keadaan sekerat belut sekerat ular dalam pembahasaan harus ditinggalkan. Usaha dan tugas memantau melalui kuatkuasa undang-undang Dewan Bahasa & Pustaka berkaitan penggunaan bahasa Kebangsaan harus diketengahkan segera. Lantaran Kabinet telahpun meluluskan pindaan undang-undang yang diperlukan setahun lalu usaha memperkukuh kedudukan bahasa Kebangsaan mesti diutamakan. Bangsa yang kurang menekankan bahasa nasionalnya akan ketinggalan dalam hal-hal pemupukan budaya nasionalnya juga.

Kedaulatan Raja-Raja Melayu memang akan tetap kukuh dan berkuatkuasa selagi pemerintahan berparlimen dan Raja berperlembagaan kekal di Malaysia. Sistem yang ada juga bermakna bahawa kepentingan warga bukan Melayu tidak diabaikan kerana kuasa Parlimen membuat undang-undang negara yang berasaskan keadilan dan kesaksamaan tetap wujud dan terpelihara. Demikianpun, rakyat Malaysia harus diberi lunas menghormati dan menghayati kedaulatan Raja. Cara terbaik ialah dengan melunaskan Rukunegara sepenuhnya melalui latihan dan pembelajaran.

Yang perlu diingati ialah, setakat mempunyai hak-hak keistimewaan seperti yang terkandung pada Per. 153, atau setakat kedaulatan terhad Raja-Raja Melayu (Per. 38 dan 181), bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Per. 152), perkhidmatan awam yang majoriti Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi negara (Per. 3) ¬ ini semua belum menjamin kekuatan semulajadi, jauh sekali mendaftarkan ketuanan Melayu itu sendiri. Kita mesti kuat dari segi politik. Bila kuasa di tangan harus pandai menggunakannya dengan bijak. Ketuanan akan datang dan kekal jika kuasa politik kukuh dan terus membela bangsa sendiri. Malangnya kekukuhan dan ketuanan bukan komoditi yang mudah diperolehi dengan hanya laungan. Ia akan hanya datang dan berada di sisi apabila perjuangan itu luhur dan tidak kotor.

Ketuanan sesuatu kaum atau supremacy sesuatu masyarakat tidak boleh dipergantungkan sangat lantaran sifat itu lebih merupakan perasaan atau ego politik yang tidak disokong oleh kekuatan dalam perjuangan atau peruntukan Perlembagaan negara. Laungan ketuanan Melayu itu seharusnya dilihat dari sudut ilmu, kebolehan dan kemampuan, merit dan dedikasi terhadap tugas dan tanggungjawab, disiplin politik dan sebagainya. Kalau kita beli undi untuk jadi ketua Bahagian atau hendak jadi pemimpin dalam UMNO bagaimana kita boleh kata kita Tuan?

Sebagai warga asal, orang Melayu dan pribumi memang boleh berbangga dan mendabik dada jika sifat-sifat tinggi peradaban tersebut terlengkap pada diri pemimpin dan yang dipimpin. Bila ini terbukti, dengan sendirinya orang Melayu dan kaum pribumi akan di lonjakkan oleh masyarakat Malaysia. Tetapi sekadar melaungkan Melayu tuan kepada sekalian yang lain barang sudah tentu akan menyulitkan perjuangan itu sendiri.

Hanya Raja kita yang boleh dianggap Tuan kepada semua warganegara Malaysia. Selainnya kita adalah sama di sisi undang-undang.11 Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan mengisytiharkan semua orang adalah sama di sisi undang-undang. Berhadapan dengan peruntukan ini tidaklah wajar mana-mana orang mendakwa atau menuntut bahawa bangsanya adalah tuan kepada yang lain. Kesultanan atau Raja Melayu yang menjadi tunggak dan simbol kuasa dan kerajaan yang berdaulat memang memungkinkan orang berani melaungkan 'Ketuanan Melayu'.

Sebagai perbandingan, Red Indian di Amerika dan orang Maori di New Zealand, misalnya masih belum berani menonjolkan diri mereka sebagai pihak yang dipertuankan oleh warga majmuk di Negara mereka. Ini disebabkan bilangan mereka yang kecil dan keupayaan politik mereka terhad. Melayu dan pribumi memang mempunyai kelebihan dari segi bilangan penduduk 12 dan hak-hak tertentu di negara ini tetapi kekuatan politik orang Melayu sendiri sudah banyak terhakis akibat politik UMNO, PAS dan PKR. Jika kekuatan politik orang Melayu dapat disatukan atau sekurang-kurangnya UMNO itu sendiri diperkasakan perjuangannya barang sudah tentu kuasa bangsa akan menjana kuasa yang lebih besar. Bila itu berlaku bolehlah ditepuk dada ditanya selera. Nanti orang lain yang akan mengatakan bahawa Melayu adalah tuan di negara mereka.

Takrif Melayu itu sendiri mempunyai tiga syarat asas: pertama seseorang itu hendaklah menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu dan menurut adat istiadat Melayu. 13 Definasi Melayu ini tentunya menimbulkan masalah oleh kerana jika kurang tersempurnanya salah satu daripada syarat yang tiga itu mungkin menyebabkan seseorang itu tidak lagi layak dianggap sebagai Melayu. Walaubagaimana pun kesukaran seperti ini belum pernah disuai di hadapan mahkamah di Negara ini. Ini tidak bermakna ia tidak akan muncul nanti sebagai suatu kemungkinan yang membawa kepayahan. Misalnya dari segi bahasa dan adat istiadat mungkin akan muncul persoalan: adakah kita kini berbahasa Melayu dengan lazimnya? Adakah kita mengamalkan budaya kita sehingga secara jelas mengandungi adat istiadat Melayu; apakah dia adat istiadat Melayu itu?

Bila ini semua dipersoalkan sebanyak sedikit natijah tidak sempurna mungkin muncul. Orang Melayu dan pribumi akan terasa bahawa sesungguhnya terdapat banyak ketinggalan dan kekurangan yang ada pada diri mereka sendiri. Justeru sebelum dlaungkan ketuanan, keagungan dan sebagainya muhasabah diri perlu dilaksanakan. Kekuatan dalaman perjuangan mesti dicapai kembali supaya para pemimpin Melayu insaf bahawa politik mencapai dan mengekalkan kuasa harus terumpu kepada bangsa sendiri terlebih dahulu. Agenda Melayu sedia ada pada UMNO, parti-parti politik dan badan-badan bukan Kerajaan serta ummah Melayu itu sendiri. 14

SYOR

  • Melayu-Bumiputra perlu memperkasakan politik melalui bilangan mereka yang besar. Untuk itu mesti bersatu tenaga dan perjuangan.
  • Mengenal sejarah bangsa untuk panduan perjuangan.
  • Mengenal kelemahan politik dan ekonomi dan mengatasi dengan muhasabah diri.
  • Politik Melayu melalui UMNO mesti dirobah – Fasal 3 Perlembagaan UMNO perlu dihayati lantaran di dalamnya sedia terkandung agenda Melayu yang sebenar.
  • Mewujudkan lapisan muda yang berilmu dan berbudaya Melayu
  • Menolak nisbah sekurang-kurangnya 30% dan menggantikannya dengan setinggi-tinggi mungkin nisbah kekayaan Negara dimiliki Bumiputra.
  • Semua dasar berkaitan Melayu-pribumi dan Islam diputuskan terlebih dahulu oleh tapisan politik sebelum diputuskan kerajaan.
  • Hindari perjuangan lemah imej. Bertindak bila Melayu atau UMNO dicerca oleh politik luaran. Jangan mudah minta maaf bila tidak bersalah. Simbol-simbol kekuatan perjuangan wajib dipertahankan. Bahasa jiwa bangsa perlu jadi amalan. Penjiwaan perjuangan dipasakkan ke dalam hati sanubari golongan puteri putera.
  • Sistem penguatkuasaan undang-undang dan dasar dijamin pantas dan saksama.


-------------------------------

1 Untuk mengkaji sejarah kekuasaan etnik dan penemuan-penemuan awal di Tenggara Asia, lihat G. Coedes, Indianized States of South East Asia, 1968.

2 Perkataan nusantara mencantumkan dua pengertian – 'nusa' dan 'tara'. Nusa bererti tanah air dan 'tara' 'kedudukan' atau 'keadaan'. Nusantara secara sosio-geografis bererti kawasan kenegerian dalam satu kelompok. Nusantara juga sering disebut sebagai negeri-negeri kepulauan Melayu.

3 Richard Winstedt, The Malays – A Cultural History, Singapore, 1947, m.11

4 Campurtangan rasmi Inggeris bermula 1874 dengan termeterainya Perjanjian Pangkor yang melibatkan Inggeris dan Sultan Perak, Raja Abdullah. Melalui Perjanjian Pangkor pentadbiran negeri Perak secara keseluruhan dilaksanakan oleh Inggeris melalui sistem Residen. Kepada Raja dikhaskan bidang-bidang Islam dan adat istiadat Melayu. Nasihat Inggeris dalam semua hal hendaklah dipatuhi di bawah kuatkuasa Perjanjian itu. Antara 1874 dan 1895 Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang berada di bawah pentadbiran Federated Malay States (FMS). Antara 1896 hingga 1914 (bermulanya Perang Dunia Pertama) negeri lain di Semenanjung dimasukkan ke dalam pentadbiran Unfederated Malay States (UMS).
5 Frank Swettenham, British Malaya, Oldam Printer, 1905 m.78.

6 Malayan Constitutional Report 1957 [Laporan Suruhanjaya Reid 1957] m.73 para 168. Perkataan The Alliance di atas merujuk kepada Parti Perikatan yang dianggotai UMNO, MCA dan MIC. Parti Perikatan ditukar menjadi Barisan Nasional pada tahun 1974 di bawah pimpinan Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Ke-dua.

7 Lihat Per. 159(5). Peruntukan inilah yang memperkasa kedudukan Raja-Raja, Bahasa Kebangsaan, kewarganegaraan,

8 Jawatan Timbalan Perdana Menteri tiada diberi peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

9 Kuasa ini tertakluk kepada Per. 43(2)(a) yang menetapkan YDA hendaklah melantik seorang Perdana Menteri dari kalangan ahli Dewan Rakyat yang pada pendapatnya akan mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli-ahli Dewan itu; akan didapati bahawa kuasa subjektif YDA di bawah peruntukan ini tidak boleh canggahi lantaran perkataan-perkataan "yang pada pendapatnya". Kuasa di-Raja di sini kelihatan bersifat mutlak walaupun di bawah Per.40 YDA hendaklah mengikut nasihat berkaitan mana-mana tugas baginda di bawah Perlembagaan Persekutuan.

10 Kerajaan Negeri Perlis dan Terengganu pada bulan April 2008 telah menerima nama-nama pemimpin dari Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi sebagai Menteri Besar masing-masing negeri. Lazimnya siapa yang dinasihati PM untuk jadi MB atau Ketua Menteri sesebuah negeri nasihat atau cadangan MB itu dipersetujui sahaja oleh Raja. Tetapi dalam hal Perlis dan Terengganu, Raja dan Sultan berkenaan enggan melantik calon-calon yang dicadangkan oleh PM i.e.Datuk Seri Shahidan Kassim (Perlis) dan Datuk Seri Idris Jusoh (Terengganu). Sebaliknya Raja dan Sultan kedua-dua negeri itu melantik Datuk Mohd Isa bagi Perlis dan Datuk Seri Ahmad Said bagi Terengganu. Perlakuan ini sekali gus memudarkan imej kepimpinan PM dan menimbulkan kesan negatif kepimpinan. Peristiwa ini tidak pernah berlaku sebelumnya.

11 Per. 8 berbunyi: Semua orang adalah samarata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang. Klausa (2) pula memperuntukkan hendaklah tiada apa-apa pembezaan terhadap warganegara semata-mata oleh sebab agama,kaum, keturunan, atau tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang…

12 Pecahan penduduk 2008 – sekitar 27 juta: Melayu 62%; Cina 29%; India 11%; Lain-lain 8% Lihat Buku Fakta Malaysia 2008, JPM, Putrajaya.

13 Lihat Per.160. Anihnya, definasi Cina atau lain-lain bangsa tiada diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

14 Lihat Fasal 3 Perlembagaan UMNO. Enam pecahan matlamat di bawah fasal ini mengandungi semua tujuan dan perjuangan parti itu yang menonjolkan agenda Melayu secara keseluruhan.

No comments: