Friday, April 3, 2009

Tiada batasan, tiada adab bagi Anwar...




Parti Keadilan Rakyat (PKR) benar-benar memperlihatkan sikap mengelabah dan tidak bertanggungjawab apabila menyiarkan dalam laman berita rasminya Suara Keadilan mendakwa acara mengangkat sumpah Perdana Menteri baru, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, hari Jumaat dibatalkan.




Kononnya pembatalan itu dibuat kerana Yang di-Pertuan Agong menolak untuk melantik Najib sebagai Perdana Menteri setelah menerima perletakan jawatan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Cerita karut itu bukan sahaja disiarkan oleh laman lidah rasmi PKR tetapi melalui perkhidmatan khidmat pesanan ringkas (SMS) Adil Net yang diterima oleh mereka yang melanggani perkhidmatan tersebut.

Menyedari cerita yang disebarkan tidak benar, penasihat PKR DatukSeri Anwar Ibrahim mula mengalihkan tumpuan kepada cerita lain yang berkaitan dengan perlantikan Najib dengan menyiarkan surat pakatan pembangkang kepada Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong yang memohon penangguhan perlantikan Najib sebagai Perdana Menteri.

Cuma persoalan yang timbul kenapa surat tersebut baru disiarkan hari Khamis sedangkan surat berkenaan bertarikh 28 Mac 2008.

Mungkinkah setelah Abdullah dan Najib mengadap Yang di-Pertuan Agong dan urusan peralihan kuasa hanya menunggu formaliti sahaja hari Jumaat, maka Anwar cuba membawa cerita bahawa Yang di-Pertuan Agong sebenarnya bersetuju dengan permohonan pembangkang melalui surat yang dibuat pada 28 Mac lalu.

Dapat difahami, isu surat tersebut akan dijadikan satu isu politik dengan mendakwa Yang di-Pertuan Agong ‘terpaksa’ menerima Najib walaupun pada awalnya setuju dengan surat pakatan pembangkang.

Skrip seperti ini telah lama digunakan oleh Anwar.

Mengenali cara politik Anwar selama ini, jika surat tersebut benar-benar sudah ditulis 28 Mac lalu, nescaya pada tanggal 29 Mac surat itu telah pun disebarkan tetapi bagi menutup malu apabila berita acara angkat sumpah dibatalkan terbukti satu pembohongan, Anwar cuba menggunakan surat itu pula sebagai helah baru.

Sementara itu sumber Jabatan Perdana Menteri memberitahu Agendadaily, setelah Abdullah dan Najib mengadap Yang di-Pertuan Agong, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah mempersiapkan semua dokumen berkaitan dengan urusan serah tugas yang akan berlangsung hari Jumaat.

Malah, persiapan acara mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri baru juga telah disiapkan di Istana Negara dan semua yang berkaitan telah menerima surat rasmi bagi maksud majlis mengangkat sumpah berkenaan.

Sumber itu memberitahu, apa yang cuba dibuat oleh PKR adalah kerja orang yang tidak waras dan kemuncak kepada beberapa siri pembohongan parti itu.

Malah menurut sumber itu, apa yang dilakukan PKR itu boleh difahami kerana PKR khususnya penasihat parti berkenaan Datuk Seri Anwar Ibrahim memang tidak 'sedia' untuk berhadapan dengan Najib sebaga Perdana Menteri baru.

Dalam perkembangan berkaitan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein ketika mengulas mengenai penyebaran berita palsu itu menyifatkan penyebaran SMS tersebut merupakan tindakan hilang akal pembangkang yang terdesak dalam menghadapi tiga pilihan raya kecil sekarang.-

sumber - agendadaily

No comments: